Tuesday, January 26, 2010

Pemimpin Penuh idea

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Penglibatan Allahyarham Tun Ghazali Shafie dalam pembentukan Rukun Negara selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 disifatkan sebagai satu sumbangan besar negarawan tersebut kepada negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, jika rakyat mahu mengenal dan mengingati sumbangan Ghazali atau lebih dikenali King Ghaz, mereka boleh membaca dan menghayati prinsip-prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara.

Jelasnya, beliau dan Allahyarham merupakan antara pemimpin yang terlibat dalam menjana idea dan resolusi pembentukan Rukun Negara.

"Antara perkara yang boleh diingati tentang Allahyarham adalah prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,'' katanya ketika ditemui pada majlis pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan Ghazali sebagai seorang yang penuh dengan idea dan pendekatan 'luar biasa' serta pemikiran di luar kotak.

Jelas beliau, pendekatan yang diamalkan ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri satu ketika dulu, masih diteruskan sehingga sekarang.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekarang masih meneruskan kesinambungan idea dan pendekatan yang pernah beliau laksanakan dalam isu keselamatan serta kedudukan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Ghazali merupakan seorang yang banyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tugas-tugas menjaga keamanan ketika zaman darurat.

"PDRM banyak belajar daripada Ghazali terutama dalam melakukan tindakan selain idea bagi meningkatkan profesionalisme pasukan polis," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, King Ghaz terlibat secara langsung dalam pembangunan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas negara diancam komunis dan ia sumbangan yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara ini.

Katanya, ketika itu King Ghaz banyak mengambil pendekatan menjalinkan kerjasama dengan negara luar selain membantu dalam menyelesaikan krisis bersama Tentera Merah Jepun (Red Japanese Army).

"Semasa itu beliau terlibat membantu orang awam dan rakyat epun yang ditawan di Bangunan AIA tanpa sebarang kejadian buruk," katanya ketika ditemui di majlis pengkebumian Allahyarham Ghazali.

Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal berkata, beliau mengenali Ghazali ketika era kemerdekaan dan tokoh penting dalam usaha membentuk Malaysia.

"Sumbangan dan khidmat baktinya amat besar kepada negara dan tidak akan dilupakan oleh segenap masyarakat di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengucapkan takziah atas pemergian King Ghaz yang disifatkan tegas ketika memegang jawatan Pengerusi Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) pada 1989-1991.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, Allahyarham boleh disifatkan sebagai 'Bapa' kepada Kementerian Luar Negara sehingga nama kementerian itu sinonim dengan Wisma Putra.

''Walaupun Allahyarham pernah menggalas tanggungjawab Menteri Dalam Negeri namun jasanya lebih banyak di Kementerian Luar,'' ujarnya.

Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral (B) Tan Sri Hashim Mohd. Ali pula berkata, jasa King Ghaz kepada negara amat besar.

"Keputusan kerajaan menyemadikan jenazah di Makam Pahlawan merupakan penghormatan yang sangat wajar untuk Allahyarham," katanya.

Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

 
SK SERKAM
Km 18 Jalan Serkam PAntai
77300 Merlimau Melaka.

Tel & Fax : 06-2619740
Email : mba1019@ppdjasin.edu.com
skserkampantai@gmail.com
Website : http://skserkampantai.blogspot.com

Emelkan kepada kami...

Name:
Email:
Comment:
Sekolah Kebangsaan Serkam, 77300 Merlimau Melaka | Template Ireng Manis © 2010 Free Template Ajah. Distribution by Dhe Template. Supported by Cash Money Today and Forex Broker Info