Saturday, July 3, 2010

Sunnah Kebangkitan...

Melihat suasana dan musibah yang melanda umat Islam sekarang ini di Palestin amat memedihkan jiwa. Masjid Aqsa dijajah, rumah-rumah dirampas, kehidupan disekat dengan tembok batu, serangan, pembunuhan dan pengeboman saban hari berlaku tanpa ada pembelaan.

Negara-negara Islam pula hanya mampu melihat tanpa bertindak manakala jiwa pemuda yang membara hanya sekadar di jalanan dan semaraknya hanya seketika sebelum layu semula dihanyut ombak dunia.

Begitu juga dengan Iraq dan Afghanistan yang masih dijajah oleh tentera salibiyah moden. Negara-negara Afrika Islam seperti Sudan dan Somalia pula dihimpit kemiskinan, kebuluran dan pertempuran yang panjang.

Umat di Pakistan dan Arab pula tidak henti-henti bertelagah sesama sendiri, kerana khilaf mazhab atau apa jua sebab. Juga serangan pemikiran yang menimpa pemuda-pemudi Islam di Nusantara hingga hilang identiti dan sifat kemuliaan Islam pada diri mereka.

Umat hari ini yang pada asalnya kita adalah singa yang menjadi raja, ditukar menjadi kijang yang pengecut dan menjadi pak turut kepada agenda musuh-musuh Allah.

Benar sabda baginda nabi bahawa umat hari ini telah menjadi laksana buih di lautan, banyak tetapi tidak berkualiti.

Apakah masih ada sinar kebangkitan di hujung terowong buat umat Islam hari ini?

Dalam sejarah panjang perjuangan tauhid di sepanjang zaman, Allah telah menetapkan bahawa sebelum sesuatu umat itu diwariskan kepada mereka kemuliaan, Allah akan menguji mereka dengan sehebat-hebat ujian, hingga mereka menjadi kuat kerana ujian itu dan kebergantungan mereka dalam mendepani cabaran hanyalah kepada Allah semata-mata.

Banyak kisah di sepanjang zaman yang harus kita teladani, antaranya kisah Nabi Musa dan umatnya yang banyak sekali diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran.

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Kaum Nabi Musa telah ditindas dengan begitu hebat oleh Firaun dan kerajaannya. Hingga anak-anak kecil dibunuh dengan kejam tanpa sebarang alasan yang munasabah.

“Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi). Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman beserta tentEranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu” (Al-Qasas: 4-6)

Namun Allah telah menyatakan rahsia di sebalik penindasan itu adalah kerana Allah ingin menjadikan mereka pemimpin di muka bumi. Tetapi sebelum mereka mendapat kemenangan, Nabi Musa dan Bani Israel diuji dengan hebat hingga ke suatu tahap yang mereka seakan berputus asa dari pertolongan Allah.

Maka Firaun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit.

Maka setelah kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa: “Sesungguhnya kita benar-benar akan tersusul”.

Musa menjawab: “Sekali-kali tidak akan tersusul; sesungguhnya Tuhanku besertaku, kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku”.

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

(As-Syuaraa: 60-63)

Hingga akhirnya datang pertolongan Allah dengan cara yang tidak disangka-sangka dan Firaun dan kerajaannya tewas dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pada masa itu. Sungguh, pada kisah Nabi Musa ada teladan yang harus diiktibari oleh orang-orang yang beriman.

Pada kisah perjuangan Rasulullah juga tergambar suatu sunnah kemenangan yang harus diteladani di sepanjang zaman. Betapa kisah penindasan umat Islam di zaman Mekkah, juga ketika Madinah dikepung oleh tentera Ahzab sebenarnya adalah petanda bahawa kemenangan bagi umat Islam sedang dalam perencanaan Allah.

Begitu juga ketika peristiwa Constantinople hendak dibebaskan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Empayar Uthmaniah sebelumnya mengalami ujian yang sangat dahsyat dengan serangan-serangan dari kerajaan luar seperti Timurlane dan perpecahan dalaman yang berlaku akibat perebutan kuasa.

Rupanya kejadian-kejadian yang berlaku ada rahsia di sebaliknya. Allah sedang mempersiapkan dengan ujian ini tentera yang terbaik dan pemerintah yang terbaik bagi menawan kota Constantinople yang gagal ditawan oleh generasi para sahabat yang mulia.

Hari ini kita melihat rakyat Palestin ditindas, Gaza dikepung dan kelihatannya penderitaan ini bagai sebuah penderitaan yang tidak akan berkesudahan. Begitu juga dengan negara-negara Islam lain yang tertindas.

Namun lakaran sejarah semalam telah menunjukkan bahawa penindasan ini sebenarnya adalah proses ujian untuk menyediakan masyarakatnya bagi menghadapi perjuangan yang lebih besar, iaitulah perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan menyebarkan kebaikan Islam ke seluruh alam.

Ini adalah sunnah kebangkitan yang sifirnya telah ditentukan sejak dahulu lagi, hanya masa yang akan menentukan bilakah waktu kemenangan akan datang. Persiapkanlah diri kita dengan iman dan taqwa kerana pertolongan Allah itu mungkin telah hampir, mungkin lebih hampir dari apa yang kita sangkakan.


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

 
SK SERKAM
Km 18 Jalan Serkam PAntai
77300 Merlimau Melaka.

Tel & Fax : 06-2619740
Email : mba1019@ppdjasin.edu.com
skserkampantai@gmail.com
Website : http://skserkampantai.blogspot.com

Emelkan kepada kami...

Name:
Email:
Comment:
Sekolah Kebangsaan Serkam, 77300 Merlimau Melaka | Template Ireng Manis © 2010 Free Template Ajah. Distribution by Dhe Template. Supported by Cash Money Today and Forex Broker Info